Malaysia Perkukuh Perlindungan Kanak-Kanak ASEAN

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 5 Ogos 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam melindungi hak, kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak di peringkat serantau menerusi penganjuran Forum Kanak-Kanak ASEAN Ke-9 (9th ASEAN Children’s Forum, ACF) yang berlangsung pada 4 hingga 5 Ogos 2026 di Putrajaya.

Forum yang bertemakan “Shielding ASEAN Childhood: Say No to Violence” itu menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama negara-negara anggota ASEAN dalam usaha membanteras segala bentuk keganasan terhadap kanak-kanak. Tema berkenaan juga selaras dengan usaha memuktamadkan ASEAN Regional Plan of Action on the Elimination of Violence Against Children 2026–2035, yang dijangka diperakukan oleh para pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Republik Filipina.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata setiap kanak-kanak berhak menikmati perlindungan, perkembangan, kelangsungan hidup dan penyertaan yang bermakna tanpa sebarang diskriminasi. Beliau turut menegaskan bahawa setiap dasar dan keputusan yang melibatkan kanak-kanak perlu berteraskan prinsip kepentingan terbaik mereka.

Majlis perasmian turut menyaksikan ucapan alu-aluan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, manakala ucapan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat, TYT Nararya S. Soeprapto, disampaikan menerusi rakaman video.

-Advertisement-

Forum yang diterajui oleh Senior Officials Meeting on Social Welfare and Development (SOMSWD) dengan kerjasama ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (ACWC) menghimpunkan lebih 150 peserta secara fizikal dan dalam talian. Penyertaan itu melibatkan empat wakil kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun dari setiap negara anggota ASEAN, selain disokong oleh fasilitator, mentor, wakil agensi ASEAN serta pelbagai rakan strategik termasuk UNICEF, UNFPA, SUHAKAM dan pertubuhan masyarakat sivil.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, Encik Mohd Daud Mohd Arif; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBhg. Dato’ Ruziah Haji Shafei; pegawai kanan kementerian serta wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan organisasi antarabangsa yang bersama-sama memperkukuh agenda perlindungan kanak-kanak di rantau ASEAN. Forum ini diharap dapat mempertingkat kerjasama serantau dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, inklusif dan kondusif bagi pembangunan kanak-kanak pada masa hadapan. – The Capital Post