PERLIS 3 Ogos 2026, (The Capital Post) – Festival Kraf Utara (FKU) 2026 berlangsung meriah menerusi Sesi Jelajah Mesra di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat mengenali keunikan seni kraf tempatan serta hasil kreativiti usahawan kraf seluruh negara.
Sesi tersebut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot yang mengiringi YB Datin Marzita Mansor, wakil kepada YAB Menteri Besar Perlis, bagi menyantuni usahawan kraf, menyaksikan demonstrasi interaktif serta meninjau pameran inovasi kraf baharu dan Institut Kraf Negara (IKN).
Selain pameran dan aktiviti berkaitan kraf, program turut dimeriahkan dengan pelepasan kayuhan Perlis Culture Ride yang melibatkan penyertaan seramai 151 peserta. Aktiviti berkenaan mengetengahkan keunikan budaya tempatan menerusi pengisian tradisi, permainan rakyat serta demonstrasi makanan tempatan di Homestay Komuniti Kampung Rama dan Chalet Kurong Tegar.
-Advertisement-
Festival Kraf Utara 2026 yang berlangsung selama 12 hari itu menampilkan penyertaan 72 usahawan kraf dari seluruh Malaysia serta 29 Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) sebagai platform memperkasakan penggiat seni kraf tempatan.
Penganjuran festival ini turut menyokong usaha memelihara warisan seni budaya negara, memperluas peluang ekonomi kepada usahawan kraf serta menyemarakkan kempen Visit Malaysia 2026 menerusi tarikan budaya dan produk tempatan. – The Capital Post