Guru SK Ulu Tembeling berperahu edar modul PdPR kepada murid Orang Asli

Estimate Reading Time: 2 minutes

JERANTUT: Sekumpulan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling terpaksa meredah Sungai Tembeling dengan perahu selama 20 minit bagi menghantar modul Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ke rumah murid di sini.

-Advertisement-

Guru terbabit terpaksa menyabung nyawa menyerahkan modul PdPR berikutan kawasan terbabit tidak menerima liputan telefon bimbit yang meluas selain tiada liputan internet.

Guru Besar SK Ulu Tembeling, Ahmad Zaki Kassim berkata, masalah liputan dan internet yang dihadapi itu mengakibatkan PdPR sukar dilaksanakan selain rama keluarga yang tidak memiliki telefon bimbit.

Katanya, sekolah yang terletak di Kampung Bantal, Ulu Tembeling ini mempunyai 91 murid termasuk 21 murid Orang Asli.

“Sebelum ini sebahagian besar murid Melayu tinggal di asrama, kerana rumah murid terletak jauh dari kawasan sekolah.

-Advertisement-

“Murid Orang Asli tinggal di perkampungan Orang Asli dekat Sungai Kuching yang hanya boleh dihubungi dengan laluan sungai saja.

“Maka guru di sekolah ini terpaksa menaiki bot untuk menghantar modul PdPR ke rumah mereka,” katanya kepada BH, hari ini.

Ahmad Zaki berkata, bagi murid yang tinggal berhampiran sekolah, ibu bapa mengambil sendiri modul PdPR di sekolah.

“Sekolah ini mempunyai 17 guru, tujuh guru bertanggungjawab menemui penduduk Orang Asli, manakala guru lain berjalan kaki atau bermotosikal ke rumah penduduk menghantar PdPR,” katanya.

Guru SK Ulu Tembeling menyerahkan modul PdPR kepada ibu bapa murid. Foto ihsan guru SK Ulu Tembeling
Guru SK Ulu Tembeling menyerahkan modul PdPR kepada ibu bapa murid. Foto ihsan guru SK Ulu Tembeling

Sementara itu, guru tahun enam, Marliyana Mohd Norrollah berkata, menjadi tanggungjawab kepada guru menghantar modul PdPR kepada murid Orang Asli bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

“Pada masa sama guru dapat berkenalan dengan ibu bapa mereka dengan lebih dekat dan berbincang mengenai pelajaran anak mereka,” kata guru mengajar Matematik itu.

Cikgu Fauzan Md Tahib pula berkata, masalah talian internet di kampung Orang Asli Sungai Kuching mendorong guru menghantar dan mengutip modul PdPR ke rumah 21 murid Orang Asli setiap minggu.

Katanya, perjalanan ke Kampung Orang Asli Sungai Kuching perlu menaiki bot selama 20 minit kerana tiada jalan darat dari Kampung Bantal.

Beliau berharap dengan dengan usaha ini, sekurang kurangnya murid Orang Asli tidak ketinggalan dalam menjalani pembelajaran secara PdPR.

Sementara itu bapa pelajar, Almi Cayong, 35, berkata usaha guru SK Ulu Tembeling menghantar sendiri modul ke perkampungan itu amat dihargai bagi memastikan tiada pelajar ketinggalan dalam mengikuti PdPR.

“Sebagai bapa tentulah saya mengambil berat hal pembelajaran anak, tetapi jarak sekolah yang jauh menyukarkan kami ke sekolah untuk mengambil modul pembelajaran, tambahan lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373