Hajat Jamal sebelum ‘pejam mata’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menaruh impian besar untuk melihat skuad bola sepak negara sekali lagi layak ke pentas Sukan Olimpik.

Mengakui perkara itu sukar untuk direalisasikan buat masa ini, namun Jamal yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menganggap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu berubah untuk skuad bola sepak kebangsaan mencapai sesuatu yang lebih baik.

Beliau berkata, perubahan itu harus dilakukan demi masa depan bola sepak negara terutama dalam membekalkan ‘ilmu’ dan pendedahan yang mencukupi buat barisan pemain muda yang akan menjadi pelapis masa depan skuad Harimau Malaya.

-Advertisement-

“Struktur FAM kena berubah, kalau tidak berubah, tiada apa bola sepak kita ini, macam itu sajalah. Saya sebenarnya sudah umur 72 tahun dan kalau boleh sebelum saya ‘pejam mata’, saya nak tengok sekali lagi Malaysia layak ke Olimpik.

“Sama seperti kita layak dulu, (kali terakhir) tahun 1980. Sekarang ini tahun 2026, berapa tahun? 46 tahun. Hingga kini tiada pun kita langkah setakat itu. Namun, sekarang ini bersaing di pentas Sukan SEA pun susah, untuk (Sukan) Asia lagilah (payah),” katanya.

Skuad bola sepak negara mencapai satu pencapaian yang sehingga kini kekal sebagai puncak tertinggi dalam sejarah bola sepak negara apabila layak ke Olimpik di Munich, Jerman Barat pada 1972.

Harimau Malaya kemudian layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, tetapi tidak menyertai temasya berkenaan kerana memboikot susulan serangan Soviet ke atas Afghanistan ketika itu.

FAM ketika ini berada dalam proses pemulihan dengan bantuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas semua Jawatankuasa Eksekutif meletak jawatan secara berjemaah pada 28 Januari lalu.

Selepas proses pemulihan dilakukan, struktur FAM bakal mengalami perubahan dengan kongres pemilihan barisan kepemimpinan baharu badan induk itu akan diadakan.

-BeritaHarian