Hanya dua persatuan sukan Terengganu berdaftar dengan Perkeso

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU, 5 Okt — Hanya dua daripada 44 persatuan sukan di Terengganu mendaftar dan mencarum atlet di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kata Pengarah Perkeso Terengganu Farihah Che Husin.

-Advertisement-

Beliau berkata setakat ini hanya Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) sahaja yang berdaftar serta mencarum dengan Perkeso, meskipun ramai yang sedar tentang keperluannya terutama apabila ditimpa musibah.

“Kita melihat persatuan seperti hoki, sepak takraw dan banyak lagi persatuan sukan di negeri Terengganu belum mendaftar dan mencarum pekerja atau pemain di bawah naungan kelab mereka dengan Perkeso.

“Saya ingin tegaskan bukan hanya persatuan bola sepak sahaja yang perlu mendaftar tetapi juga persatuan-persatuan sukan yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada waris bekas pemain pasukan Terengganu City FC (TCFC) di Kampung Bukit Depu, di sini hari ini.

-Advertisement-

Perkeso menyampaikan Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 dan Faedah Pencen Penakat sebanyak RM300 sebulan kepada Fatimah Ismail, 64, iaitu ibu kepada bekas pemain (TCFC) Muhammad Solihin Mahamad, 24, yang meninggal dunia 24 Sept lepas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat serangan jantung.

Allahyarham Muhammad Solihin, dikatakan muntah sebelum rebah dan pengsan ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan antara pasukannya, Gong Parit FC dan Tualang FC, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada 22 Sept lepas.

Dalam perkembangan lain, Farihah berkata pada tahun lepas lebih 45 majikan telah dikenakan tindakan melibatkan pelbagai kesalahan seperti tidak mencarum serta tidak mendaftar pekerja dan gagal daftar perusahaan mereka dengan Perkeso. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373