Bagi suami isteri yang bekerja sudah semestinya membuat tabungan khas untuk membeli barang keperluan terutama sekiranya ada beberapa anak yang bersekolah.
Seperti membeli peralatan lain, lebih baik jika mempunyai perancangan rapi bagi mendapatkan tawaran dan penjimatan terbaik.
Ini kerana jualan murah musim cuti sekolah akan berlangsung. Mendapatkan barangan pada masa ini akan dapat menjimatkan kewangan anda.
Tetapkan bajet berbelanja
Selain itu, anda boleh memberikan anak bajet mini untuk sesetengah barangan. Sebagai contoh, berikan anak RM5 untuk membeli peralatan asas pensel warna, ini boleh melatih idea jimat belanja mereka untuk berjimat, membuat keputusan dan bertanggungjawab.
Ramai ibu bapa mudah diganggu dengan tawaran murah sehingga berbelanja barang yang tidak diperlukan.
Misalnya kanak-kanak lebih menyukai barangan yang lebih menyerlah seperti kotak pensel yang tertera gambar kartun dan pemadam berbentuk watak adiwira.
Semua ini biasanya datang dengan kos yang lebih tinggi berbanding peralatan biasa.
Anda juga boleh memberikan mereka pilihan, hanya satu barang dibenarkan atau meminta mereka membeli menggunakan duit sendiri.
Anda juga boleh membeli barangan terbabit sendirian, tanpa anak. Elakkan pembelian impuls, kerana masa musim buka sekolah inilah banyak tawaran dan potongan yang diberikan.
Untuk barangan elektronik seperti tablet mudah alih, komputer riba atau telefon pintar, tunggu sehingga pameran bagi mendapatkan harga lebih murah.
Elak membeli barangan terpakai kerana kita tidak tahu status barangan itu dengan tepat. Anda boleh berbelanja dengan lebih baik kalau membeli komputer baru.
Kebiasaannya banyak kedai peralatan sekolah akan mengadakan potongan harga. Ambillah peluang ini untuk mendapatkan tawaran terbaik.
Jika ada masa, periksa kedai yang memberikan tawaran paling berbaloi. Elak membeli produk berjenama kerana ia biasanya lebih mahal. Pilih yang sedikit berkualiti agar tahan lama seperti beg sekolah dan pakaian.
Bukan semua keperluan sekolah diperlukan pada hari pertama persekolahan. Oleh itu, anda boleh merancang apa yang diperlukan dengan serta-merta, dan apa yang boleh dilengahkan.
Utamakan apa yang penting terlebih dahulu. Ini kerana ada kedai mengadakan penjualan penghabisan stok selepas sesi persekolahan bermula untuk menghabiskan semua barang yang tidak terjual.
Ambil kesempatan ini untuk mendapatkan peralatan yang masih belum cukup tadi.
Kadangkala barangan yang anda mahukan boleh dibeli dengan separuh harga di kedai yang lain, terutama dengan yang menawarkan semua barangan mereka dengan satu harga tetap – biasanya RM5 atau RM10.
Anda boleh memantau harga barangan yang dibeli di pasar raya dengan barangan yang dijual di kedai seperti ini.
Biasanya kedai seperti ini boleh menjimatkan wang anda. Namun, anda juga perlu memilih produk yang tidak mudah rosak, elakkan daripada membeli barangan elektronik dan mekanikal dari kedai RM2 ini.
Akhir sekali sebelum sekolah bermula pesan kepada anak-anak anda agar menjaga keperluan barangan sekolahnya dengan baik. Pastikan dia tidak merosakkannya atau menghilangkannya. Beritahu mengenai kesusahan anda menyediakan barangan itu.
-BeritaHarian