KUALA LUMPUR 23 Mei 2026 (The Capital Post) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa institusi Raja merupakan asas penting dalam sistem kenegaraan Malaysia yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dibuat susulan polemik berkaitan kedudukan institusi Raja yang timbul kebelakangan ini, dengan IKIM menekankan bahawa institusi berkenaan bukan sahaja mencerminkan sejarah dan identiti negara, malah menjadi tonggak kestabilan, perpaduan serta kesinambungan pemerintahan negara.
Menurut IKIM, prinsip kedua Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” menggambarkan komitmen rakyat Malaysia untuk menghormati institusi Raja sebagai lambang kedaulatan negara dan penyatuan masyarakat berbilang kaum.
IKIM turut menjelaskan bahawa Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, manakala Perkara 44 menetapkan baginda sebagai sebahagian daripada institusi Parlimen bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
-Advertisement-
Selain itu, institusi Raja juga memainkan peranan penting dalam memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan berdasarkan Perkara 3(1), selain menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
IKIM turut mengingatkan bahawa Perkara 181(1) memperuntukkan kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu kekal terpelihara mengikut lunas Perlembagaan.
Sehubungan itu, IKIM menyeru semua pihak agar terus memperkukuh kefahaman terhadap sistem Raja Berperlembagaan serta menjaga adab dan tanggungjawab dalam membincangkan isu berkaitan institusi Raja demi memastikan perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara terus dipelihara. – The Capital Post