Imunisasi remaja Sarawak bermula hari ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUCHING: Peringkat awal pogram imunisasi COVID-19 kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak yang dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini hingga hujung minggu ini, memberi tumpuan kepada dua kumpulan sasar.

-Advertisement-

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kumpulan sasar yang akan diberi vaksin pada peringkat awal itu ialah remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang berkomorbid serta golongan berusia antara 16 hingga 17 tahun.

Pemberian vaksin bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang sihat pula dijadual bermula pada penghujung bulan September, namun ia bergantung kepada bekalan vaksin yang akan diterima.

“Program imunisasi untuk golongan remaja di Sarawak itu akan dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam khas, sekolah serta klinik kesihatan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB).

“Klinik kesihatan akan memberi vaksin kepada pelajar berasrama yang masih berada di kampung selain kalangan remaja yang sudah tidak bersekolah,” katanya selepas pelancaran Program Imunisasi COVID-19 kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air, hari ini.

Seramai 375 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Matang iaitu kumpulan pertama remaja berusia 16 hingga 17 tahun di negara ini menerima suntikan vaksin pada program berkenaan. Mereka yang menerima vaksin Pfizer BioNTech ditemani ibu bapa masing-masing.

Abang Johari berkata, janji temu untuk penerimaan vaksin akan dilakukan mengikut sekolah dan setiap PPV akan menerima pelajar dari beberapa sekolah, setiap hari.

-Advertisement-

Bagi remaja di kawasan luar bandar, Jabatan Kesihatan Negeri akan menghantar pasukan bagi melaksanakan Program Outreach Imunisasi COVID-19 di sekolah-sekolah.

Ia akan dilaksanakan di dua kawasan iaitu di Bahagian Kapit yang membabitkan seramai 9,334 pelajar daripada 16 sekolah dan 207 pelajar di dua sekolah dalam Bahagian Miri.

“Program ini bermatlamat untuk memastikan remaja berusia 16 hingga 17 tahun akan lengkap divaksinasi sebelum sesi persekolahan bermula 3 Oktober depan manakala bagi yang berusia antara 12 hingga 15 tahun pula, program imunisasi dijadualkan bermula pada minggu keempat bulan depan iaitu antara 22 Oktober hingga 26 Oktober” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia tahun ini, remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak berjumlah 289,200 orang yang merangkumi 10.3 peratus populasi negeri ini.

Daripada jumlah itu, seramai 96,400 atau 3.4 peratus populasi Sarawak adalah golongan berusia 16 dan 17 tahun, manakala remaja yang berusia 12 hingga 15 tahun pula seramai 192,800 atau 6.9 peratus.

Menurut Abang Johari lagi, ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak mereka yang layak untuk divaksinasi di semua PPV yang ditetapkan termasuk di sekolah serta klinik. -BH