Isu pembangunan, pencemaran jadi tumpuan forum Peduli Rakyat

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGE TOWN: Isu pembangunan berlebihan dan pencemaran dijangka menjadi tumpuan di Forum Peduli Rakyat di Pulau Pinang, hujung minggu ini dengan 21 NGO dari wilayah utara mengambil bahagian.

-Advertisement-

Dianjurkan oleh Penang Forum, forum yang akan berlangsung di Dewan Sri Pinang Sabtu ini juga akan memberi tumpuan kepada pilihan raya majlis tempatan dan isu tebus guna tanah.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution berkata acara itu juga akan membalas dakwaan pihak berkuasa bahawa tebus guna tanah akan mengimbangi peningkatan paras laut.

“Tebus guna bukan pengurangan iklim, tetapi memburukkan iklim. Ini menunjukkan mereka tidak faham apa itu perubahan iklim,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Acara pada Sabtu ini menyaksikan 21 penceramah dengan setiap seorang diberi 5 minit untuk membentangkan pandangan mereka mengenai isu alam sekitar dan pembangunan.

-Advertisement-

Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani, kumpulan memerangi sisa plastik dan pembakaran terbuka di Kedah, juga dijangka membuat pembentangan.

Isu lain yang akan dibincangkan termasuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, kadar penilaian dan kenaikan cukai tanah dan rumah mampu milik.

Kemasukan ke acara itu adalah percuma. -FMT