Jati Tinggi bermula cemerlang hari pertama di Bursa Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Jati Tinggi Group Bhd, syarikat kejuruteraan utiliti infrastruktur hari ini membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd dengan premium 13 peratus apabila harga sahamnya dibuka pada 30.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 27 sen sesaham.

-Advertisement-

Aktiviti teras kumpulan merangkumi rangkaian perkhidmatan penting termasuk perolehan, pemasangan,

ujian dan penyelenggaraan perkhidmatan serta penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah dan atas tanah.

Selain itu, ia menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pencawang, selain pembekalan dan pemasangan peralatan elektrik untuk pencawang elektrik.

Dengan tumpuan kepada perancangan projek dan pengurusan projek, Jati Tinggi membina kedudukan sebagai

pemain penting dalam industri bekalan elektrik di Malaysia.

Melalui IPO itu, Jati Tinggi berjaya mengumpul sebanyak RM18.04 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman bank, RM7.34 juta untuk modal kerja am yang diperuntukkan untuk projek baharu dan sedia ada, RM200,000 bagi membeli mesin win untuk menyokong pengembangan perniagaan dan RM3.5 juta lagi untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Jati Tinggi, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata perjalanan ke penyenaraian ini adalah usaha kerjasama, didorong oleh kerja keras dan dedikasi pasukan.

-Advertisement-

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terbabit dalam perjalanan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Bhd, Ku Mun Fong, berkata kemunculan sulung Jati Tinggi di Pasaran ACE menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan korporat mereka.

Katanya, dengan model perniagaan dan rancangan pengembangan strategik mereka, Jati Tinggi berada pada

kedudukan yang baik untuk merebut peluang baru muncul dalam sektor ini.

“Kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Kami berharap dapat menyaksikan kejayaan dan pertumbuhan masa depan kumpulan pada tahun-tahun akan datang dengan memanfaatkan peluang yang ada daripada perbelanjaan modal yang akan ditanggung oleh Tenaga Nasional (TNB) menurut pengumuman baru-baru ini,” katanya.

TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO Jati Tinggi.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373