JKR Putrajaya Pantau Kualiti Pengurusan Fasiliti Menerusi Program MOSI

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 8 Ogos 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Putrajaya terus memperkukuh pemantauan terhadap pengurusan fasiliti bangunan kerajaan menerusi pelaksanaan Program Management Observation Site Inspection (MOSI) di Bangunan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Jabatan Imigresen Malaysia, Lot 2G4, Presint 2.

Program yang diadakan pada 7 Ogos itu diketuai Pengarah JKR WP Putrajaya, Ir. Ts. Hajah Sarimah Ahmad, bersama Jurutera Awam Penguasa Kanan Bahagian Bangunan Kerajaan 2, Ir. Ts. Hajah Wan Zakiah Wan Mohamed bagi menilai pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan fasiliti di bangunan berkenaan.

Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada pemantauan kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor pengurusan fasiliti, Ikha Ventures Sdn. Bhd., serta kontraktor Housekeeping, Pest Control and Cleansing (HKPC), Thursinar Corporation Sdn. Bhd. Pemeriksaan melibatkan beberapa kawasan utama termasuk lobi kementerian, lobi lif, ruang pejabat, tandas dan kawasan parkir bawah tanah.

-Advertisement-

Menerusi Program MOSI, JKR memastikan semua skop penyelenggaraan dilaksanakan mengikut spesifikasi, standard kualiti dan tempoh yang telah ditetapkan bagi menjamin persekitaran kerja yang selesa, selamat dan kondusif kepada pengguna bangunan kerajaan.

Pada masa sama, sesi pemantauan itu turut menjadi platform untuk mengingatkan pihak kontraktor supaya lebih proaktif dan responsif dalam menangani isu di tapak, selain terus mengamalkan nilai amanah, integriti dan komitmen tinggi dalam penyampaian perkhidmatan yang berkualiti selaras dengan kehendak Kerajaan. – The Capital Post