MELAKA, 8 Ogos 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak bagi meninjau perkembangan projek penambahbaikan lapang sasar serta pembinaan Hospital Angkatan Tentera yang dijangka memperkukuh prasarana pertahanan dan meningkatkan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Lawatan itu memberi tumpuan kepada kemajuan projek pembangunan Hospital Angkatan Tentera yang bakal meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada anggota dan keluarga ATM, selain meninjau kerja-kerja menaik taraf lapang sasar bagi menyediakan kemudahan latihan yang lebih moden, selamat dan kondusif dalam memperkukuh kesiapsiagaan pasukan.
Dalam lawatan tersebut, Perdana Menteri turut meluangkan masa menyantuni warga Kem Terendak menerusi Program Semarak Kenegaraan yang menekankan nilai patriotisme, semangat perpaduan serta komitmen berterusan untuk berbakti kepada negara.
-Advertisement-
Kerajaan menegaskan usaha memperkasakan keupayaan pertahanan negara akan terus diberi keutamaan melalui pemodenan aset dan prasarana, peningkatan tahap kesiapsiagaan ATM serta pemerkasaan aspek kebajikan anggota bagi memastikan pasukan pertahanan negara kekal bersedia menghadapi sebarang cabaran keselamatan.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azhan Md Othman. – The Capital Post