CARACAS: Juara Olimpik, Brazil mengalami tamparan dalam usaha mereka melayakkan diri ke temasya Paris 2024 selepas pasukan B-23 mereka tewas 1-0 di tangan Paraguay awal pagi tadi pada pertandingan empat terakhir kelayakan zon Amerika Selatan.
Tandukan Fabrizio Peralta pada masa kecederaan babak pertama cukup untuk memberikan Paraguay, yang kali terakhir layak ke Olimpik pada 2004, kemenangan yang tidak disangka-sangka.
Bintang remaja Brazil, Endrick, yang akan menyertai Real Madrid tahun ini, melepaskan peluang untuk meletakkan pemenang pingat emas Tokyo 2020 itu di depan apabila dia gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas 29 minit.
Brazil akan berdepan tuan rumah Venezuela Khamis ini, yang ditundukkan mereka 3-1 pada pusingan kelayakan awal bulan ini.
Paraguay pula akan menentang Argentina.
Empat negara bertembung sesama sendiri pada pusingan akhir dari 5-11 Februari, dengan dua pasukan teratas layak ke Sukan Olimpik.
-REUTERS
-BeritaHarian