Kadar inflasi Julai meningkat 2.2 peratus

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia, yang mengukur kadar inflasi dalam negara bagi Julai 2021 meningkat 2.2 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

-Advertisement-

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan sederhana IHP disebabkan oleh diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi tempoh tiga bulan berkuat kuasa 1 Julai 2021.

Bagaimanapun, katanya IHP masih kekal positif memandangkan terdapat kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada bulan berkenaan berbanding setahun lalu.

“IHP kekal positif untuk bulan keenam berturut-turut sejak Februari 2021 disebabkan kesan asas yang rendah pada tahun lalu.

“Peningkatan ini didorong terutama oleh kenaikan dua angka beberapa indeks seperti pengangkutan sebanyak 11.6 peratus berikutan penetapan harga siling petrol RON95 kepada RM2.05 seliter sejak Mac lalu, berbanding harga purata RM1.69 pada Julai 2020.

“Ia diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (1.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, IHP bagi tempoh Januari hingga Julai 2021 melonjak 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, dengan indeks teras turut meningkat 0.7 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

-Advertisement-

Beliau berkata, peningkatan indeks teras disumbangkan oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus), akanan dan minuman bukan alkohol (1.1 peratus), pengangkutan (1 peratus), restoran dan hotel (0.7 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus).

Indeks teras, katanya meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal.

“Namun begitu, bagi perbandingan bulanan, IHP turun 0.6 peratus dipengaruhi oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.5 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (-0.1 peratus).

“IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali RON95, RON97 dan diesel meningkat 0.8 peratus pada Julai 2021 kepada 113.2 berbanding 112.3 tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Beliau menambah, indeks bagi lima negeri turut melepasi paras IHP nasional iaitu Terengganu (2.8 peratus), Pahang (2.5 peratus), Selangor dan Putrajaya (2.4 peratus), Kelantan (2.4 peratus) dan Sarawak (2.3 peratus).

-BH