Kadar kebolehjangkitan di 4 wilayah rendah dari paras kebangsaan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) bagi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan merekodkan penurunan bawah 1.0 berbanding negeri lain.

-Advertisement-

Kadar Rt di wilayah berkenaan juga turun lebih rendah daripada kadar Rt kebangsaan iaitu 1.02.

Berdasarkan perkongsian oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Putrajaya merekodkan bacaan Rt paling rendah, iaitu 0.78 diikuti Negeri Sembilan 0.82, Kuala Lumpur 0.84 dan Selangor 0.97 (berbanding 0.95 kelmarin).

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk dalam pemantauan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley yang diwujudkan 9 Julai lalu, bagi menangani isu berkaitan COVID-19, seperti meningkatkan kadar vaksinasi menampakkan hasilnya dengan penurunan Rt.

Lembah Klang juga sudah berjaya mencapai imuniti kelompok dengan sekitar 87.8 peratus golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, sudah menerima vaksinasi lengkap sehingga semalam.

Melaka pula mencatatkan Rt 1.0, diikuti Pahang (1.1) iaitu antara negeri yang di bawah purata Rt kebangsaan, di samping Labuan merekodkan tiga kes, semalam.

Ketika ini Labuan mencatatkan peratusan vaksinasi tertinggi negara dengan sebanyak 92.9 peratus atau seramai 63,663 penduduk dewasa wilayah persekutuan itu sudah menerima dos lengkap.

Sementara itu, Kedah dan Terengganu merekodkan Rt 1.03, diikuti Kelantan dan Perak 1.08, Johor (1.09), Pulau Pinang (1.14), Sabah (1.19), Sarawak (1.20) dan Perlis (1.23).

-Advertisement-

Bacaan Rt kebangsaan kekal 1.02 dalam tempoh tiga hari berturut-turut sebelum dilaporkan menurun kepada 1.01 pada Isnin, berbanding 1.03 pada Ahad.

Dalam tempoh dua bulan, jumlah Rt tertinggi yang pernah direkodkan negara ialah 1.16 pada 28 Julai lalu.

Berdasarkan Model Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR) Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19 yang dikongsi Dr Noor Hisham, Rt boleh melonjak melebihi 1.2 dengan kes mencecah 24,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), Rt terendah pernah dicatatkan pada 0.81 pada 3 Mac lalu.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu jumlah ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

-BH