Kamera AWAS tangani isu pelanggaran undang-undang trafik

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penggunaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) berjaya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata keberkesanan penguatkuasan kamera AWAS yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), mendapati tahap pematuhan penggunaan jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas adalah mencecah 99 peratus secara keseluruhannya.

Katanya, pada masa ini terdapat 45 kamera AWAS atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sedang beroperasi dan dikuatkuasakan.

“Daripada jumlah itu 44 kamera sudah beroperasi sepenuhnya dan satu dalam proses pembaikan dan penyelenggaraan.

“Penggunaan kamera AWAS juga berjaya meningkatkan tahap persepsi ditangkap kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi peguatkuasa,” katanya ketika jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun, (PH-Port Dickson) mengenai status terkini kamera AES dan jumlah yang masih beroperasi, adakah kajian terkini keberkesanan penggunaan kamera AWAS.

-Advertisement-

Tambahnya, kamera AWAS bukanlah bertujuan memerangkap pengguna jalan raya, sebaliknya ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan titik hitam di mana nahas kerap berlaku sebelum ini.

Katanya, penggunaan kamera AWAS membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari dan mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia iaitu anggota penguatkuasaan.

“Kerajaan akan menambah kamera AWAS ini tetapi mengikut keperluannya dalam jangka panjang dan melihat impak kewangan, kerana ianya memang berkesan,” katanya.

– Berita Harian