Kapal pelancong tidak dilarang masuk ke Malaysia, kata Loke

Estimate Reading Time: 2 minutes

KLANG: Kerajaan tidak melarang mana-mana kapal pelancong untuk berlabuh di Malaysia berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19)di China.

-Advertisement-

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan sektor pelancongan berjalan lancar dan tidak memberikan gambaran panik kepada orang ramai jika keputusan sebaliknya diambil.

“Kita masih membenarkan kapal persiaran masuk ke negara kita kerana ini merupakan satu sektor pelancongan yang sangat utama.

“Seperti hari ini kapal persiaran Aidabella dari Jerman dan mereka belayar dari Singapura ke Pelabuhan Klang dan hampir semua penumpang dari Jerman, sama seperti kapal persiaran lain yang membawa warganegara dari pelbagai negara.

“Pada ketika ini memang kebanyakan kapal persiaran tidak ada penumpang atau pelancong dari China kerana negara itu sendiri menyekat rakyatnya keluar.

“Jadi dasar kita ketika ini, masih membernarkan kapal persiaran untuk berlabuh di Malaysia. Kita kena juga memastikan industri pelancongan kita terus berjalan dan tidak terjejas teruk walaupun sekarang ini ada kesan sangat negatif kerana kekurangan pelancong masuk,”katanya kepada pemberita selepas melawat tempat saringan kesihatan di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Loke bagaimanapun menegaskan, walaupun tiada halangan kepada kapal persiaran masuk ke Malaysia, saringan kesihatan telah diperketat.

Katanya, pelancong perlu melalui 2 tapisan pemeriksaan kesihatan sebelum dibenar masuk dan jika seseorang individu itu mempunyai simptom demam dan suhu badan tinggi, mereka tidak dibenarkan turun dari kapal.

“Kita nak menyakinkan orang ramai bahawa segala proses kesihatan dijalankan sebelum pelancong dibenar mendarat dan masuk ke dalam negara kita.

“Untuk prosedur kapal, sebelum mereka masuk, senarai penumpang itu diberi kepada pihak berkuasa kita, pihak operator dan pihak Lembaga Pelabuhan.

“Prosesnya semasa di atas kapal tahap kesihatan akan diperiksa. Kedua, kita juga akan periksa sekali lagi tahap kesihatan jika penumpang mempunyai simptom sakit atau demam.

-Advertisement-

“Mereka akan di kuarantin di atas kapal dan tidak dibenarkan masuk,”katanya sambil memaklumkan sejak 25 Jan tiada satu pun kes positif Covid-19 direkodkan.

Katanya, langkah itu diambil bagi memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa kerajaan serius memastikan tahap kesihatan rakyat.

Katanya, sejak Januari sebanyak 19 kapal persiaran berlabuh di negara ini membabitkan kawasan Pelabuhan Klang sahaja.

“Satu kapal dalam 2,000 hingga 3,000 penumpang,” katanya.

Loke turut berkata, selain kapal persiaran kapal kargo juga perlu melalui proses sama.

Angka kematian dan kes baru jangkitan wabak koronavirus di China melonjak pada Khamis dengan 242 kematian dan hampir 15,000 pesakit baru di wilayah Hubei apabila pihak berkuasa mengubah kaedah diagnosis yang digunakan.

Sekurang-kurangnya 1,355 orang disahkan maut di seluruh negara itu dan hampir 60,000 dijangkiti selepas Suruhanjaya Kesihatan Hubei melaporkan angka baru.

Dalam kemas kini hariannya, suruhanjaya berkenaan mengesahkan 14,840 kes baru di wilayah tengah China itu, sejak ia mula menular pada Disember tahun lepas.

Menurut pegawai tempatan, lonjakan angka itu berlaku berikutan perubahan dalam cara mereka mendiagnosis kes Covid-19. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373