Karmaine ada perancangan besar untuk penduduk Tanjung Piai

Estimate Reading Time: < 1 minute

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai mempunyai perancangan besar untuk mengubah taraf ekonomi penduduk setempat yang kini kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan petani.

-Advertisement-

Karmaine Sardini, 66, bercadang mewujudkan industri baharu seperti penternakan tiram dan pembenihan ikan sembilang di kawasan parlimen itu sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.

Ini selepas mengambil kira kesesuaian kawasan pesisiran laut Tanjung Piai yang dilihat berpotensi bagi kedua-dua projek itu dijalankan, terutama apabila melihat permintaan yang tinggi terhadap ikan sembilang sekali gus memacu harga tinggi bagi pasaran hidupan laut itu.

“Tetapi benda (projek) ini kena ada kajian menyeluruh seperti dari segi kesesuaian air dan dasar lautnya supaya nanti ia benar-benar boleh dijalankan,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama di sini.

Selain itu, Karmaine bercadang untuk mewujudkan koperasi agar anak muda boleh membabitkan diri dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

-Advertisement-

“Kami beri peluang kepada mereka untuk ceburi bidang-bidang yang boleh memberi manfaat contohnya menjadi seorang usahawan.

“Itu sebab kami kerap panggil (jemput) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memberi penerangan tentang peluang pinjaman untuk permulaan perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Pada PRK ini, Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon Barisan Nasional daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan, Wendy Subramaniam, dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian bagi PRK Tanjung Piai diadakan pada 16 November. – Bernama