KUALA LUMPUR 17 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh budaya inovasi dalam perkhidmatan awam menerusi Pertandingan Hari Inovasi KDN 2026 yang berlangsung di Dewan SP10, KDN, hari ini dengan penekanan terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan penyelesaian kreatif.
Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KDN, YBrs. Encik Ahmad Nizam bin Norali, berkata penerapan AI perlu diterjemahkan kepada pembangunan sistem pintar yang mampu mempercepat proses keselamatan, memperkukuh kawalan sempadan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pertandingan tersebut disertai 17 kumpulan yang mewakili Unit Komunikasi Korporat (UKOM) serta pelbagai jabatan dan agensi di bawah KDN, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Penjara Malaysia.
Dalam usaha memperkukuh kepimpinan berasaskan teknologi, seramai 28 pegawai daripada 25 bahagian KDN serta 11 jabatan dan agensi turut mengikuti latihan AI For Leaders. Program tersebut bertujuan mempersiapkan pegawai untuk membangunkan persekitaran kerja yang lebih pintar melalui penggunaan AI, automasi dan teknologi digital.
Menerusi pendekatan “AI FOR KDN, KDN FOR AI”, KDN menegaskan bahawa inovasi yang dihasilkan perlu memberikan hasil yang jelas, meningkatkan nilai untuk wang, mendigitalkan proses, mempunyai nilai kemampanan serta mengutamakan penggunaan AI secara bertanggungjawab.
-Advertisement-
KDN turut menggalakkan penerapan konsep frugal innovation atau inovasi berjimat yang mengoptimumkan sumber sedia ada bagi menghasilkan penyelesaian berkualiti tinggi dan berimpak kepada organisasi serta rakyat.
Pada masa sama, budaya kerja secara silo disaran digantikan dengan kerjasama rentas bahagian, jabatan dan agensi bagi memastikan projek inovasi yang dihasilkan bukan sekadar memenuhi keperluan pertandingan, tetapi terus digunakan, ditambah baik dan memberikan manfaat jangka panjang.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, YBrs. Puan Norazlin binti Alias; Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat, YBrs. Puan Norkhanizan binti Manaf; wakil-wakil bahagian, jabatan dan agensi serta para peserta pertandingan.
Barisan panel juri Pertandingan Inovasi KDN 2026 turut terdiri daripada Ketua Panel, Encik Ali bin Isa dari Kementerian Kerja Raya (KKR); Encik Rosdi bin Osman dari Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA); dan Encik Muhammad Shawwal bin Mohamad Raqi dari Jabatan Tenaga Manusia (JTM). – The Capital Post