KDN Perkemas Pengurusan Pelarian Melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 25 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh pengurusan pelarian di Malaysia menerusi pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi memastikan proses pendaftaran, tapisan keselamatan dan penentuan status dilaksanakan secara lebih sistematik serta teratur.

Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN komited memastikan setiap proses berkaitan pengurusan pelarian dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang demi menjaga keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Melalui program tersebut, KDN menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan keseluruhan proses pengurusan DPP termasuk pendaftaran biometrik, pemeriksaan keselamatan, penentuan status pelarian, pengesahan status migran serta pengeluaran Kad Dokumen Pendaftaran Pelarian kepada individu yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Pelaksanaan DPP membolehkan kerajaan memiliki rekod identiti yang lebih lengkap, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan pengurusan pelarian, memperkukuh kawalan keselamatan serta memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan proses saringan yang menyeluruh.

-Advertisement-

KDN menjelaskan bahawa pendekatan tersebut turut mengambil kira pematuhan terhadap peruntukan undang-undang dan dasar kerajaan dalam memastikan pengurusan migrasi dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Kerajaan akan terus memperkukuh tadbir urus migrasi secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan negara, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta pengurusan yang lebih tersusun selaras dengan amalan terbaik. – The Capital Post