KDNK Malaysia Tumbuh 6.0 Peratus Pada Suku Kedua 2026

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 15 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama, sekali gus menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama tahun ini pada kadar 5.7 peratus.

Pertumbuhan tersebut lebih tinggi berbanding 4.5 peratus yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong oleh kekuatan permintaan domestik, prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Pasaran buruh turut kekal berdaya tahan, manakala tekanan inflasi terus terkawal dengan kadar inflasi dicatatkan pada 1.9 peratus pada suku kedua 2026.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, berkata prestasi pertumbuhan 6.0 peratus menunjukkan ekonomi negara masih mempunyai momentum yang kukuh meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar. Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan ekonomi perlu turut dinilai berdasarkan peningkatan peluang pekerjaan, pendapatan dan kuasa beli rakyat.

Prestasi ekonomi negara dicapai ketika ketidaktentuan global masih berterusan, termasuk kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi mempengaruhi harga tenaga, kos logistik serta rantaian bekalan. Kepelbagaian struktur ekonomi dan kekuatan permintaan domestik terus menjadi antara faktor yang membantu Malaysia menghadapi tekanan luaran.

Kerajaan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan ekonomi serta mengambil langkah bersesuaian bagi mengurangkan kesan perkembangan global terhadap rakyat dan sektor perniagaan.

-Advertisement-

Menurut Menteri Ekonomi, MTEN memberi tumpuan kepada empat pendekatan utama, iaitu memastikan bekalan terjamin, memanjangkan tempoh kecukupan bekalan, mengekang kenaikan harga serta memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul daripada perubahan global dan rantaian bekalan antarabangsa.

Dalam usaha memperkukuh daya tahan ekonomi, Kerajaan turut memberi penekanan kepada kepelbagaian sumber bekalan strategik, pengukuhan hubungan perdagangan serta peningkatan keupayaan industri domestik. Kerjasama dengan rakan dagang utama termasuk Australia, China dan Jepun akan terus diperkasa bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap rantaian bekalan.

Bagi separuh kedua 2026, pertumbuhan ekonomi dijangka terus mendapat sokongan daripada permintaan domestik, pasaran buruh yang stabil, perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelancongan serta permintaan global terhadap produk E&E.

Dalam jangka sederhana dan panjang, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan terus dipercepat dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, pelaburan berkualiti tinggi, pembangunan bakat serta kepelbagaian sumber pertumbuhan.

Kerajaan kekal komited memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan dan berdaya tahan, dengan manfaat pertumbuhan diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang ekonomi serta kesejahteraan rakyat secara lebih menyeluruh. – The Capital Post