Kekerapan laluan LRT Kelana Jaya kurang 3 minit tahun hadapan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menyasarkan waktu kekerapan tren kurang tiga minit pada waktu puncak di transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akan dapat dicapai menjelang tahun hadapan.

-Advertisement-

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata ketika ini kekerapan tren adalah 3.8 minit pada waktu puncak selepas pengoperasian tiga tren baharu di laluan berkenaan.

Beliau berkata, tiga tren tersebut adalah sebahagian daripada perolehan 27 tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur 27 (KLAV27) yang bernilai RM1.72 bilion.

“Di bawah projek tersebut, Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) dan Rapid Rail memperoleh 27 tren baharu dengan kumpulan tren pertama diterima secara berperingkat bermula September 2020.

“Sebanyak 11 tren telah diterima setakat ini dan baki 16 set tren akan diterima secara berperingkat dari bulan ini sehingga Disember 2024.

“Dengan jumlah 44 tren pada waktu puncak ketika ini berbanding sebelum ini 38 tren, kekerapan dapat dikurangkan kepada 3.8 minit minit dan dengan adanya tambahan tren lagi tahun hadapan diharap dapat kurangkan waktu kekerapan kepada kurang tiga minit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Tinjauan Pengoperasian Tren KLAV27 di Stesen LRT Universiti, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, tambahan tren itu juga sekali gus mengurangkan jumlah muatan penumpang kepada 100 peratus berbanding sebelum ini mencapai 125 peratus pada waktu puncak.

Katanya, ia akan dapat memberi keselesaan kepada penumpang berikutan laluan berkenaan adalah laluan paling sibuk.

“Selain itu saya yakin usaha ini juga akan dapat menambahkan jumlah penumpang yang ketika ini sebanyak 250,000 sehari kepada 300,000 sehari.

“Malah, penambahan tren ini juga akan dapat meminimumkan masalah teknikal yang kerap berlaku sebelum ini,” katanya.

Loke berkata, pihak Rapid Rail juga akan memastikan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bagi LRT Laluan Kelana Jaya serta laluan lain yang akan dilaksanakan secara berterusan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373