Kekosongan DUN Pelangai akan dimaklumkan kepada SPR dalam masa terdekat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLANG: Kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Johari Harun yang terbabit dalam nahas jet persendirian di Lebuhraya Guthrie dekat Bandar Elmina, Shah Alam, petang semalam.

-Advertisement-

Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata pihaknya akan membantu menyelesaikan urusan pengebumian Allahyarham Johari terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut.

“Apa-apapun kita mahu selesaikan urusan jenazah ini terlebih dahulu,” katanya di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, malam tadi.

Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang adalah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1).

-Advertisement-

Mohd Sharkar berkata, Johari menaiki pesawat berkenaan atas urusan rasmi. Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Langkawi, Kedah.

“Mulanya saya keliru sebab ada banyak Johari (di Pahang), tetapi apabila melihat nombor kad pengenalan bermula 1970 bermakna 53 tahun dan kita dapat jangka Johari Harun yang meninggal dunia,” katanya.

Beliau menyifatkan Johari seorang yang rajin dan sentiasa mendapatkan nasihat daripadanya berkaitan politik. – BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373