Sambut tangan terbuka PM untuk ‘terangi gunung, lembah’

Estimate Reading Time: 2 minutes

Hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri dimeterai dan diabsahkan Perlembagaan yang memperuntukkan Jadual Kesembilan dalam membahagikan bidang kuasa kepada kedua-dua pihak berkuasa awam itu, termasuk beberapa perkara diletakkan sebagai tanggungjawab bersama. Hakikatnya, pembahagian ini bukan hanya memberikan kuasa perundangan atau hak mentadbir bidang kuasa itu semata-mata, sebaliknya memastikan kemajuan dan pembangunan dapat diuruskan dengan licin, manakala kepentingan serta kebajikan rakyat dapat dipelihara.

-Advertisement-

Sekiranya hubungan itu sendeng atau terencat, ia bukan hanya menjejaskan negara kerana setiap negeri turut menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala pembangunan negeri pula turut bergantung kepada peruntukan serta tumpuan Kerajaan Persekutuan, malah akan turut menjejaskan rakyat keseluruhan tanpa mengira pendirian politik atau sokongan parti mereka. Justeru, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu rentak sedegam, langkah sepijak dengan melaksanakan peranan masing-masing, sekali gus menunaikan tanggungjawab seperti ditetapkan dalam Jadual Kesembilan tanpa menafikan mana-mana hak diberikan.

Justeru, kita mengingatkan pemimpin parti dan penyokong mereka agar berhati-hati dalam meluahkan perasaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir supaya menghukum mana-mana negeri atas pilihan dibuat pengundi kerana ia bukan sahaja tidak berperlembagaan, bahkan tidak demokratik. Sudah terlalu lama kita menyaksikan ‘hubungan toksik’ antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri kerana perbezaan politik yang masing-masing mempunyai ‘saham’ dalam memburukkan keadaan sebelum ini, sekali gus perlu ditanam dalam lipatan sejarah dalam menuju negara yang matang politiknya dan maju ekonominya.

Kita percaya pemimpin negara baik pada peringkat Persekutuan, mahupun negeri mahu membuka lembaran baharu dalam hubungan antara kedua-dua kerajaan seperti dibuktikan melalui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuka pintu untuk meneruskan kerjasama mengikut kaedah dan semangat tatakelola yang betul, sekali gus bertepatan dengan ungkapan ‘matahari itu, gunung dan lembah sama diteranginya.’ Pada masa sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud menegaskan pentadbirannya akan mengambil pendekatan matang dan sejahtera yang pasti turut dikongsi kedua-dua rakan sejawatnya dari Terengganu serta Kedah.

-Advertisement-

Kita mahu Kerajaan Persekutuan dan negeri tidak menjadikan batas antara politik dengan tadbir urus sebagai sempadan kelabu mudah dicerobohi, sebaliknya semua entiti merealisasikan agenda penting negara dan rakyat.

Justeru, kita menyeru semua pemimpin untuk kembali kepada nilai kesaksamaan ditekankan Perlembagaan yang sakral dan melaksanakan tanggungjawab berdasarkan pembahagian bidang kuasa masing-masing berlandaskan tuntutan demokrasi dan menegakkan prinsip keadilan dalam memberikan hak kepada pihak yang berhak secara telus, integriti serta amanah.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373