PUTRAJAYA 23 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi telah memperkukuh persiapan menjelang Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Parlimen yang bermula pada 22 Jun 2026 melalui satu Mesyuarat Penyelarasan Urusan Parlimen bagi meneliti serta menyelaras pendirian Kerajaan terhadap pelbagai isu ekonomi strategik negara.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, yang memberi penekanan terhadap keperluan penyelarasan naratif serta kesiapsiagaan kementerian dalam menjawab pelbagai pertanyaan Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat.
Sebagai urusetia Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Kementerian Ekonomi turut diberi mandat untuk menjawab isu berkaitan keupayaan negara mendepani cabaran krisis bekalan global serta ketidaktentuan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada ketahanan ekonomi negara.
Dalam masa yang sama, kementerian itu turut bersedia menghadapi pelbagai persoalan berkaitan langkah menangani peningkatan kos sara hidup, pengukuhan keselamatan makanan dan tenaga, serta pelaksanaan dasar subsidi bersasar menerusi Pangkalan Data Utama (PADU).
-Advertisement-
Turut menjadi tumpuan ialah penilaian keberkesanan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), serta persediaan Malaysia menghadapi peralihan demografi ke arah negara menua menjelang tahun 2030.
Kementerian Ekonomi menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap dasar dan intervensi kerajaan dilaksanakan secara berasaskan data, responsif terhadap perubahan semasa serta berupaya melindungi kesejahteraan rakyat dan menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang mampan. – The Capital Post