Kenyataan Anwar bercanggah dengan KKM, siapa yang betul?

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini membangkitkan percanggahan fakta berhubung perolehan vaksin COVID-19 dalam kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan usul Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, di Dewan Rakyat.

-Advertisement-

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri pada Februari lalu, yang mendakwa perolehan vaksin COVID-19 yang dibuat ketika pandemik, dilakukan tanpa persetujuan Peguam Negara.

Bekas Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, dakwaan Anwar terbukti tidak benar apabila usul Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19 yang dibentangkan Lukanisman minggu lalu, menyatakan perjanjian perolehan vaksin sudah disemak Jabatan Peguam Negara.

“Apabila disebut oleh Perdana Menteri dan seperti dilaporkan akhbar, Anwar dedah perolehan vaksin tanpa persetujuan Peguam Negara. Ini disebut oleh Perdana Menteri pada 8 Februari lalu.

“Tapi kita lihat dalam usul dibaca Timbalan Menteri Kesihatan, usulnya ‘bahawa Dewan ini mengambil maklum perjanjian yang ditandatangani telah melalui proses semakan dan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).’

“Jadi siapa nak minta maaf dalam soal ini? (Kenyataan Perdana Menteri) telah beri gambaran bahawa seolah-olah urusan pembelian vaksin tak dibawa kepada Peguam Negara, tapi dalam usul Timbalan Menteri Kesihatan dikatakan perkara ini telah dibawa oleh Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 8 Februari lalu, Anwar dalam satu sidang media memaklumkan KKM akan membentangkan Kertas Putih berhubung perolehan vaksin COVID-19 dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Peguam Negara.

-Advertisement-

Susulan kenyataan itu, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang bertanggungjawab terhadap perolehan vaksin COVID-19 ketika pandemik, menafikan dakwaan terbabit dengan menegaskan semua perolehan yang dibuat ketika pentadbiran PN dibentangkan kepada Kabinet dan diketahui AGC.

Mengulas lanjut, Radzi menegaskan, insiden itu perlu dijadikan pengajaran oleh Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak gopoh membuat tuduhan dan kenyataan tanpa bukti yang jelas.

Selain itu, katanya, semua pihak perlu bermuhasabah apabila memilih membuat pelbagai tuduhan, kejian dan makian kepada kerajaan terdahulu ketika bergelut menangani krisis pandemik COVID-19.

“Tetapi kerajaan ketika itu tak cepat koyak, kita ambil pendekatan profesional kerana keutamaan untuk bawa Malaysia keluar daripada pandemik.

“Walaupun ada yang kata Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bapa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), tanpa PKP itu sendiri kita boleh lihat kesannya akan jadi lebih besar,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373