Keputusan kerajaan PH mansuh GST jejas pendapatan negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan negara.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Kewangan Abd Rahim Bakri berkata, hasil pendapatan negara berkurangan apabila cukai itu dihapuskan dan digantikan dengan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“GST telah diperkenalkan pada 2015, sebelum ia dimansuhkan pada 2018 dan keputusan pemansuhan (GST) itu adalah keputusan kerajaan ketika itu.

“Apabila kita melihat kepada data, pungutan cukai GST adalah sebanyak RM44 bilion setahun dan total ketika pelaksanaannya ialah RM133.1 bilion manakala cukai SST hanya RM21 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 di Dewan Negara.

Katanya, pungutan cukai GST lebih besar berikutan cukai itu merupakan sistem percukaian lebih menyeluruh iaitu dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat, berbanding SST yang disifatkan cukai seperingkat dan secara amnya dikenakan ke atas pihak pengilang.

-Advertisement-

“Menerusi pelaksanaan GST, kira-kira 597,000 orang yang berdaftar (menggunakan sistem percukaian ini) manakala SST hanya 46,519 yang berdaftar.

“…dan barangan yang dikenakan cukai untuk GST pula sebanyak 12,000 jenis barang manakala SST hanya 6,000 barang,” katanya.

Rahim turut mengakui terdapat kelemahan ketika pelaksanaan GST dan secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat pandangan dan penerimaan semua pihak termasuk rakyat sebelum menimbang untuk melaksanakan GST semula. -FMT