Kerajaan Perkukuh Bantuan PKS

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 20 Mei 2026 (The Capital Post) – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini meneliti kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan tempatan menerusi pembentangan khas oleh Federation of Malaysian Manufacturers (FMM).

Pembentangan tersebut memberi gambaran menyeluruh kepada Kerajaan mengenai cabaran semasa yang dihadapi industri, khususnya melibatkan peningkatan kos operasi dan gangguan rantaian bekalan yang memberi tekanan besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kerajaan menegaskan bahawa maklum balas daripada pihak industri amat penting bagi memastikan setiap dasar dan langkah intervensi yang dilaksanakan benar-benar selari dengan situasi sebenar di lapangan, terutama dalam membantu PKS yang paling terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Bagi memperkukuh daya tahan sektor perniagaan, Kerajaan sebelum ini telah menyediakan kemudahan SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) bernilai RM5 bilion menerusi Bank Negara Malaysia untuk membantu PKS mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan.

Selain itu, sokongan jaminan pembiayaan berjumlah RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut disediakan bagi membantu syarikat yang terkesan akibat tekanan ekonomi semasa.

-Advertisement-

Mesyuarat turut membincangkan cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan secara lebih seimbang bagi memperkukuh kawalan ketirisan subsidi tanpa menjejaskan operasi perniagaan serta kelancaran rantaian bekalan negara.

Kerajaan juga memberi jaminan akan terus memantau perkembangan semasa dengan memberi keutamaan kepada kestabilan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas, selain berusaha mengawal tekanan kenaikan harga serta memperkukuh ketahanan ekonomi negara.

Dalam masa sama, sesi libat urus bersama pemain industri dan pihak berkepentingan akan terus dipertingkatkan supaya setiap keputusan dasar yang dibuat lebih menyeluruh serta berteraskan kepentingan rakyat dan negara. – The Capital Post