Kerajaan sedia bajet untuk ibu, bapa tunggal B40

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita diberi tanggungjawab menyediakan Gender Responsive Budget iaitu bajet yang berasaskan data asing gender untuk B40, bermula tahun depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

-Advertisement-

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu akan mengenal pasti kumpulan sasar dan mengagih sumber mengikut keperluan penerima yang signifikan bilangannya, bukan sahaja kepada ibu tunggal tetapi juga untuk bapa tunggal sekiranya semakin tinggi peningkatan dalam sesebuah komuniti.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menambah baik dan memperhalusi dasar, perundangan serta program yang lebih peka gender termasuk usaha pembaharuan dalam penyemakan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) yang prihatin gender.

“RUU Anti Gangguan Seksual 2021 misalnya telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022, manakala RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti-Stalking Law) telah dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022.

“Pelan Tindakan Menangani Perkahwinan Bawah Umur juga akan diteruskan dengan yang terkini, Kedah telah menggubal semula undang-undang perkahwinan Islam yang memberikan perlindungan kepada kumpulan rentan dan lemah. Perkara yang sama diharap dapat diikuti di negeri-negeri yang lain agar permasalahan kahwin bawah umur ini dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Sambutan Hari Wanita Ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan majlis Sambutan Hari Wanita Ke-60 yang bertemakan ‘Keberanian Pelopor NCWO, Inspirasi Perjuangan Wanita Masa Kini’.

-Advertisement-

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri dan Yang Dipertua NCWO Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, negara kini berdepan cabaran utama apabila populasi perempuan pada 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia, sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2021 adalah 55.5 peratus sahaja.

“Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura sebanyak 69.7 peratus dan Thailand sebanyak 66.8 peratus. Kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi tetapi bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, penglibatan wanita adalah rendah.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) bersetuju mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sehingga Ogos 2022, 591,000 kumpulan sasar terutama golongan wanita mendapatkan perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) iaitu sesi bimbingan dan kaunseling.

Menurutnya, kerajaan mewujudkan PSSS itu bagi memastikan mangsa keganasan rumah tangga mendapat perlindungan segera dengan memberikan perkhidmatan psikososial kepada Keluarga Malaysia seluruh negara.– Metro