Kerajaan setuju longgar syarat bagi syarikat yang diluluskan dengan insentif

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 6 April — Kerajaan bersetuju untuk memberikan kelonggaran syarat kepada syarikat pembuatan dan perkhidmatan yang telah diluluskan dengan insentif di bawah naungan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

-Advertisement-

MIDA berkata ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan untuk meneruskan usaha penjanaan semuala ekonomi Malaysia dengan memudahkan pelaburan dan memulihkan keyakinan pelabur.

“Di bawah prosedur biasa, syarikat yang diluluskan dikehendaki mematuhi syarat-syarat tertentu dan melaksanakan projek mereka yang telah diluluskan dalam tempoh tertentu seperti yang ditetapkan dalam Surat Kelulusan yang dikeluarkan MIDA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, MIDA berkata, dengan pelaksanaan mekanisme kelonggaran ini, sebuah syarikat mungkin dipertimbangkan bagi kelonggaran tertentu apabila mencapai ambang yang diluluskan atau memenuhi garis masa pelaksanaan projek mereka yang diluluskan, tertakluk kepada pematuhan kriteria dikenal pasti yang ditetapkan kerajaan.

-Advertisement-

Ia berkata kelonggaran pematuhan dengan syarat yang ditetapkan adalah bagi tempoh antara  2020 dan 2021.

“Bagi memanfaatkan kemudahan ini, syarikat dikehendaki mengemukakan permintaan mereka dengan segera kepada MIDA dengan dokumen sokongan yang relevan berdasarkan kepada keputusan dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan,” katanya.

Pada pelabur digalakkan untuk mengemukakan permohonan rayuan mereka bagi kelonggaran/pindaan syarat insentif kepada bahagian relevan bagi industri dan perkhidmatan khusus dalam MIDA.

— BERNAMA