Kes Goldman Sachs pindah ke Mahkamah Tinggi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kes membabitkan syarikat Goldman Sachs Group Inc yang menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai AS$6.5 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah memfailkan permohonan memindahkan kes dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

-Advertisement-

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Norinna berkata, pihak pembelaan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu pada Jumaat lalu dan Mahkamah Tinggi menetapkan sebutan kali pertama pada 31 Oktober ini.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Goldman Sachs tidak membantah permohonan itu.

Pada 19 Disember 2018, pendakwaan memfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs kerana meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan itu antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013, di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, di sini.

-Advertisement-

Pertuduhan dilakukan mengikut Subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Pada 19 Disember 2018, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu Goldman Sachs

Mahkamah menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan kes dan perkembangan lanjut kes itu. -Bharian