BANGI 5 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi penganjuran Istiadat Konvokesyen ADTEC Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kali Ke-29 Tahun 2026 bagi Wilayah Tengah.
Majlis yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, yang menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkukuh TVET bagi memenuhi keperluan industri serta memperkasa modal insan negara.
Buat pertama kalinya, istiadat konvokesyen ADTEC JTM diadakan mengikut wilayah sebagai pendekatan baharu bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa dan ahli keluarga meraikan kejayaan graduan. Konvokesyen Wilayah Tengah menghimpunkan graduan daripada pelbagai kampus ADTEC JTM di seluruh negara.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Ramanan berkata TVET kini menjadi laluan arus perdana negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi permintaan industri masa hadapan, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi.
-Advertisement-
Beliau turut menggalakkan graduan menguasai bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet Kebendaan (IoT), teknologi hijau dan teknologi kenderaan elektrik bagi memastikan mereka kekal relevan serta berdaya saing dalam pasaran pekerjaan yang semakin berkembang.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara ADTEC JTM dan pihak industri supaya kurikulum, latihan industri serta pendedahan kepada teknologi terkini sentiasa memenuhi keperluan pasaran kerja.
Graduan turut diseru untuk terus meningkatkan kompetensi, mengamalkan integriti serta menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya dalam membina kerjaya yang mampan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara – The Capital Post