Kementerian Ekonomi, PDRM Teliti Bajet 2027

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 5 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi terus memperkukuh perancangan pembangunan negara menerusi perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneliti keutamaan peruntukan pembangunan menjelang penyediaan Bajet Pembangunan 2027.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir menerima kunjungan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dalam satu sesi perbincangan yang memberi fokus kepada hala tuju pembangunan sektor keselamatan negara serta keperluan strategik PDRM.

Antara perkara yang dibincangkan ialah keperluan mempertingkatkan pembangunan fasiliti, aset dan infrastruktur PDRM bagi memperkukuh keupayaan pasukan itu dalam menyampaikan perkhidmatan keselamatan yang lebih cekap dan berkesan kepada rakyat.

Menurut Kementerian Ekonomi, setiap peruntukan pembangunan akan dinilai secara teliti bagi memastikan dana awam disalurkan kepada projek yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta menyokong agenda pembangunan negara.

-Advertisement-

Keutamaan akan terus diberikan kepada projek pembangunan berskala besar mahupun kecil yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh keselamatan negara serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat.

Kerjasama erat antara Kementerian Ekonomi dan PDRM dijangka terus diperkasakan bagi memastikan perancangan pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI – The Capital Post