Ketua cawangan logistik TLDM ditahan SPRM kerana tuntutan palsu

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU, 7 April — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Johor menahan seorang Ketua Cawangan Logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini, bagi membantu siasatan berhubung membuat tuntutan palsu berjumlah RM24,250.

Menurut sumber, lelaki berumur 36 tahun dan berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Logistik ZA20, Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Sungai Lunchoo, Masai itu, ditahan di Pejabat SPRM Johor di sini, kira-kira pukul 10.00 pagi.

Sumber itu berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan bersubahat dan memperakukan pesanan kerajaan, seterusnya mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan mencetak beg kertas dan perkhidmatan mencetak kain rentang, kepada Markas KD Sultan Ismail, Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM Tanjung Pengelih, Pengerang dekat Kota Tinggi, berjumlah RM24,250, sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dibuat.

-Advertisement-

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, dan memaklumkan permohonan reman terhadap lelaki itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok. -BERNAMA

-Advertisement-