KUALA LUMPUR 8 Oktober 2026 (The Capital Post) – Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menyempurnakan sesi penggulungan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2 Tahun 2026 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu, dengan penjelasan tertumpu kepada 13 penemuan audit berkaitan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1.
Perbahasan tersebut melibatkan beberapa isu utama termasuk kelewatan pelaksanaan projek, implikasi peningkatan kos serta aspek perancangan dan tadbir urus yang dikenal pasti dalam laporan audit. KKR mengambil serius teguran berkenaan dan akan menjadikannya sebagai asas penambahbaikan dalam pelaksanaan projek pembangunan kerajaan.
Dalam penggulungan itu, Nanta menegaskan kementerian tidak akan berkompromi dalam aspek kawal selia dan pengurusan projek bagi memastikan pelaksanaan LPB Sabah dapat berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.
Antara langkah yang diberi perhatian termasuk memperkemas pemantauan melalui Jawatankuasa Pemandu LPB Sabah, menyelesaikan isu berkaitan tapak serta memperkukuh kompetensi pegawai KKR dalam pengurusan kontrak.
-Advertisement-
Setakat 25 Ogos 2026, empat daripada 35 pakej kerja LPB Sabah Fasa 1 telah siap, manakala 31 pakej masih dalam pelaksanaan. Kemajuan fizikal Fasa 1A direkodkan sebanyak 89.01 peratus, WP09 sebanyak 37.58 peratus dan Fasa 1B sebanyak 23.96 peratus.
KKR turut memberi penekanan terhadap keperluan memastikan projek berimpak tinggi itu dilaksanakan secara telus dan berintegriti, selain memberi manfaat kepada rakyat Sabah melalui penyampaian infrastruktur yang lebih berkesan – The Capital Post