Linggi, 26 Julai 2026 (The Capital Post) – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), calon No 2 Datuk Faizal Ramli, sambil menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai medan penting untuk menguji formula kerjasama politik baharu antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
Berucap pada program Sembang Santai Bersama KJ di Bandar Baru Sunggala, Khairy berkata kempen pilihan raya telah memasuki pertengahan tempoh dan menyeru penyokong PN serta PAS di Linggi agar memberikan undi kepada calon BN memandangkan tiada calon PN bertanding di kerusi tersebut.
“Kali ini kertas undi hanya ada Barisan Nasional. Jadi orang PAS dan penyokong Perikatan Nasional, sokonglah calon kita, Datuk Faizal Ramli,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama antara BN dan PN bukan sahaja penting bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, malah menjadi formula baharu yang boleh membuka lembaran politik baharu sekiranya mendapat sokongan rakyat.
Khairy turut menyatakan keyakinannya bahawa kemenangan di Negeri Sembilan mampu mencetuskan “gelombang biru” yang boleh diteruskan ke negeri-negeri lain pada masa hadapan.
“Kalau kita berjaya pada hari pengundian nanti, kita akan ada gelombang biru di Negeri Sembilan. Negeri ini penting kerana kita mahu menguji formula kerjasama baharu ini sebelum diperluaskan ke negeri lain,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut membandingkan prestasi pembangunan Johor sebagai contoh kepentingan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mempunyai mandat yang kukuh.
Beliau mendakwa Johor muncul sebagai negeri dengan kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi tahun lalu serta berjaya menarik pelaburan berjumlah RM110 bilion, yang menurutnya membolehkan pelbagai inisiatif kebajikan dilaksanakan untuk rakyat.
-Advertisement-
Khairy berkata pencapaian tersebut menunjukkan bahawa kestabilan politik membolehkan kerajaan bertindak lebih pantas dalam melaksanakan dasar pembangunan dan membantu rakyat.
Beliau turut menyentuh beberapa isu tempatan yang menurutnya masih memerlukan perhatian di DUN Linggi, termasuk masalah yang dihadapi golongan nelayan, peniaga kecil, kejadian banjir serta pelbagai isu berkaitan kesejahteraan penduduk.
Katanya, sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mempunyai majoriti kukuh diperlukan bagi memastikan masalah-masalah tersebut dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Selain itu, Khairy menggesa orang ramai meneliti manifesto yang ditawarkan, yang memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan, pelaburan serta usaha membantu perusahaan kecil.
Kerusi DUN N32 Linggi bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos 2026. Mengikut susunan pada kertas undi, calon yang bertanding ialah Datuk Zamri Md Said (BERSATU), Datuk Mohd Faizal Ramli (Barisan Nasional) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Pakatan
Seramai 20,677 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka di DUN Linggi, sekali gus menjadikan kerusi ini antara tumpuan utama PRN Negeri Sembilan 2026 – The Capital Post