PUTRAJAYA, 13 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganjurkan Seminar Integriti dan Akauntabiliti Personel Kejuruteraan KKM 2026 buat julung kali bagi memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang dalam kalangan warga perkhidmatan kejuruteraan kementerian.
Seminar yang berlangsung di Hotel Zenith Putrajaya itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa integriti merupakan asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, khususnya KKM yang menguruskan peruntukan besar dan menyediakan perkhidmatan kepada jutaan rakyat setiap hari.
Beliau berkata, warga kejuruteraan KKM memikul tanggungjawab besar dalam memastikan sistem kesihatan negara berfungsi dengan cekap, selamat dan berkesan menerusi pelaksanaan projek pembangunan, penyelenggaraan serta pengoperasian fasiliti kesihatan dan aset kerajaan.
Menurutnya, kecekapan dan kepakaran semata-mata tidak mencukupi tanpa pegangan teguh terhadap prinsip integriti kerana hanya melalui integriti keyakinan serta kepercayaan rakyat dapat terus dipelihara.
-Advertisement-
KKM turut melaksanakan pelbagai dasar dan mekanisme kawalan termasuk Polisi Antirasuah KKM, Polisi Pengurusan Hadiah dan Polisi Percanggahan Kepentingan bagi memastikan setiap warga kementerian melaksanakan tugas dengan penuh amanah, integriti dan akauntabiliti.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, YBhg. Datuk Timbalan Pesuruhjaya Ahmad Nizam Ismail, Ketua Unit Integriti KKM, YBrs. Tuan Hj. Abdul Razak Deraof, dan Timbalan Pengarah Kanan Cawangan Dasar dan Perancangan Kejuruteraan Kesihatan, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM, YBrs. Puan Bariah Bakri.
Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, seminar itu menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik bagi memperkukuh integriti serta akauntabiliti dalam perkhidmatan kejuruteraan KKM. – The Capital Post.