KKM mampu tangani isu pemberian vaksin – Dr Noor Azmi

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak memerlukan pembabitan pihak ketiga dalam membantu siasatan terhadap sesuatu isu yang timbul daripada program vaksinasi termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja ketika ini.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pihak kementerian tiada sebarang masalah untuk menangani sendiri sebarang bentuk masalah yang timbul, bermula daripada menguruskan pemberian vaksin, menyiasat isu sehingga mengeluarkan kenyataan berkaitan sebarang kes.

“Setakat ini tiada masalah (diuruskan KKM), kita memang telus. Apa kita nak sorok? Kita mesti bercakap benar kerana itu tanggungjawab kita.

“KKM sangat cepat (menangani isu), sejak PICK Remaja dijalankan secara rasmi pada 20 September lalu, saya memang amat prihatin dan ambil berat mengenai perkara ni. Saya mahu anak kita selamat apabila masuk sekolah nanti,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat keluarga seorang remaja lelaki, Muhammad Azim Hassan, 13, yang videonya longlai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang semalam.

-Advertisement-

Dr Noor Azmi berkata, setakat ini memang tiada keperluan pihak ketiga untuk bersama KKM untuk menyiasat jika wujudnya masalah berkaitan program vaksin, meskipun terdapat dakwaan kementerian terbabit tidak telus dalam menjawab sebarang isu yang timbul.

“Kita akan bertindak cepat jika berlaku apa-apa isu berbangkit termasuk aspek penyiasatan dan juga penerangan kepada orang ramai, itulah yang kita buat setakat ini.

“Jika dilihat apabila tular sesuatu video atau berlaku sedikit kesesakan di beberapa PPV, kita mengambil tindakan segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pengurusan PPV itu supaya menanganinya dengan baik,” katanya. -BH