KKM setuju tubuh Majlis Austisme Nasional

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju menubuhkan Majlis Austisme Nasional bagi membangun intervensi dan sokongan bersepadu serta menyeluruh kepada individu austisme.

-Advertisement-

Menteri, Khairy Jamaluddin, berkata fungsi Majlis Austisme Nasional merangkumi latihan kepada ibu bapa, pendaftaran nasional dan landasan maklumat yang mempunyai kaitan dengan autisme daripada peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.

Katanya, Majlis Austisme Nasional akan membabitkan antaranya Kementerian Pendidikan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kementerian Iain yang berkaitan

“Majlis ini juga akan melihat kepada intervensi dan sokongan kepada individu austisme yang ingin menyumbang kepada pembangunan negara, sebagai contoh peluang pekerjaan dan kerjasama dengan majikan serta Kementerian Sumber Manusia.

“Oleh itu, syor dan penubuhan Majlis Austisme Nasional ini akan saya bawa kepada kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Bengkel Transformasi Strategi dan Memperkasa Penjagaan Autisme sini, hari ini.

Khairy, berkata beliau berharap majlis itu akan ditubuhkan pada tahun ini dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dalaman terlebih dahulu.

-Advertisement-

“Saya akan bawa kertas kerja dan kita akan buat perbincangan KKM tentang terma rujukan majlis ini.

“Selepas itu kita akan sediakan memorandum Jemaah Menteri,” katanya.

Menurutnya dengan penubuhan majlis itu, beliau berharap pendaftaran klinikal austisme yang belum wujud di negara ini akan dapat ditubuhkan.

Katanya, menerusi pendaftaran klinikal austisme, kes austisme akan dapat dikumpulkan di seluruh negara, selain mempunyai maklumat yang lebih menyeluruh.

“Ia juga akan membantu KKM dan kementerian lain untuk membangunkan intervensi lain yang lebih berkesan dan tepat kepada individu yang berada di atas spektrum austisme,” katanya.

-BH