KKM Tarik Bakat Baharu Sertai Profesion Jururawat

Estimate Reading Time: < 1 minute

ROMPIN 26 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mempergiat usaha menarik minat generasi muda menyertai sektor kesihatan negara menerusi penyertaan dalam Program Kembara Kerjaya MADANI SPA Rompin yang berlangsung di Kolej Komuniti Rompin, Pahang.

Program kerjasama bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) itu menjadi platform untuk memperkenalkan peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam, khususnya bidang kejururawatan yang memainkan peranan penting dalam sistem penyampaian kesihatan negara.

Menerusi program tersebut, KKM memberi pendedahan mengenai laluan kerjaya sebagai jururawat melalui sesi perkongsian bertajuk “Di Sebalik Uniform Putih: Perjalanan Murni dan Impian Berharga” yang disampaikan oleh Ketua Penyelia Jururawat, YBrs. Puan Nurasmayanti binti Leman.

Sesi berkenaan memberi gambaran lebih mendalam mengenai tanggungjawab serta cabaran profesion kejururawatan yang bukan sekadar pekerjaan, malah satu amanah yang memerlukan nilai empati, kesabaran, disiplin tinggi dan keupayaan bekerja dalam pasukan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

-Advertisement-

Selain perkongsian kerjaya, KKM turut menyediakan peluang kepada peserta menerusi pelaksanaan Temu Duga Jururawat Secara Terbuka dan Bersasar serta Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (WIN UFPK). Inisiatif tersebut membolehkan calon berpotensi mendapatkan pendedahan awal serta memulakan proses kemasukan ke dalam bidang kejururawatan.

Penganjuran Program Kembara Kerjaya MADANI SPA Rompin mencerminkan komitmen KKM dalam memperkukuh pembangunan modal insan dengan menarik lebih ramai bakat muda menyertai sektor kesihatan, sekali gus memastikan keperluan tenaga kejururawatan negara terus dipenuhi. – The Capital Post