GUA MUSANG 26 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus mempergiat pemantauan terhadap pelaksanaan projek infrastruktur utama apabila Ketua Setiausahanya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi pembangunan jalan di Negeri Kelantan bagi memastikan kemajuan projek berjalan mengikut jadual serta mematuhi piawaian ditetapkan.
Lawatan tersebut melibatkan tinjauan ke Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang, Seksyen 3D dari Bulatan Gua Musang ke Mentara. Projek sepanjang 10.5 kilometer itu merangkumi pembinaan laluan baharu, naik taraf jalan sedia ada kepada jalan empat lorong dua hala serta pembinaan lima jambatan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesalinghubungan pengguna jalan raya.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KKR, YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid; Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Isa; Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR Malaysia, Ir. Hajah Atikah serta Pengarah Kerja Raya Negeri Kelantan, YBrs. Tuan Nik Badlihisham Nik Ismail.
Selain meninjau projek LTU, YBhg. Dato’ Seri Azman turut melawat Projek Pembaikan Mendapan Tambakan FT036 Jalan Aring – Jeneris, Pakej 6A: Aring hingga Sempadan Kelantan/Terengganu bagi melihat perkembangan kerja-kerja pembaikan sementara yang telah dilaksanakan di kawasan terjejas.
-Advertisement-
Bagi memastikan laluan berkenaan terus selamat digunakan oleh orang awam, KKR telah menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Cawangan Jalan untuk kerja pembaikan sementara di tiga lokasi mendapan tambakan. Sementara itu, peruntukan sebanyak RM194 juta di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) telah diluluskan bagi pelaksanaan kerja pembaikan kekal.
Lawatan kerja itu turut melibatkan pemeriksaan ke Projek Pembinaan Jambatan Sungai Nibong, Kuala Balah, Jeli yang merangkumi pembinaan jambatan baharu sepanjang 237 meter, jalan tuju sepanjang 257 meter, kerja tanah, perlindungan cerun, penambahbaikan sistem perparitan, pengalihan utiliti serta pemasangan kemudahan jalan.
Pemantauan secara berterusan oleh KKR membuktikan komitmen kementerian dalam memastikan setiap projek infrastruktur negara dilaksanakan dengan berkualiti, mengikut perancangan serta memberi impak positif kepada rakyat khususnya dalam meningkatkan kemudahan perhubungan dan keselamatan pengguna. – The Capital Post