KKR Teliti Naik Taraf Jalan dan Lampu Solar di Jeli

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi perhatian terhadap keperluan menaik taraf dan menyelenggara Jalan Persekutuan FT198 serta FT203 di kawasan Parlimen Jeli, Kelantan, termasuk penambahbaikan kemudahan lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jeli, Zahari bin Kechik, dalam persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2026.

Bagi laluan FT198, KKR telah mengenal pasti empat kerja berkala pavemen sepanjang 10.5 kilometer dengan nilai RM6.14 juta, selain kerja mengecat semula garisan jalan sepanjang 12.5 kilometer yang dianggarkan berjumlah RM455,000 bagi tahun 2026. Sementara itu, satu kerja berkala pavemen sepanjang satu kilometer bernilai RM1.5 juta turut dikenal pasti bagi laluan FT203.

Bagaimanapun, pelaksanaan kerja berkenaan bergantung pada kelulusan peruntukan Kementerian Kewangan serta keutamaan yang ditentukan berdasarkan penilaian kerosakan jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

-Advertisement-

Dalam usaha memperkukuh keselamatan jalan raya, sebanyak RM3.27 juta diperuntukkan pada 2026 bagi pemasangan lampu jalan di 35 lokasi terpilih di Kelantan. Daripada jumlah tersebut, enam lokasi di Parlimen Jeli telah dilengkapi lampu jalan solar dengan kos keseluruhan RM550,000, termasuk satu lokasi di FT198, Jalan Bukit Telaga Bijih–Kampung Air Chanal yang menelan belanja RM50,000.

KKR turut mengambil maklum keperluan pemasangan lampu jalan di FT203, khususnya di laluan antara Kampung Legeh dan Persimpangan Kampung Sungai Satan. Cadangan itu akan dipertimbangkan dalam senarai keutamaan program pemasangan lampu jalan akan datang, tertakluk pada kelulusan peruntukan pembangunan.

KKR melalui JKR akan meneruskan pemantauan serta penyelenggaraan berkala, dengan tumpuan kepada laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna Jalan Persekutuan terus terpelihara – The Capital Post