KPWKM Perkukuh Kerjasama ASEAN Dalam Agenda WPS

Estimate Reading Time: < 1 minute

MANILA 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperluas kerjasama serantau bagi memperkukuh agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan (Women, Peace and Security – WPS) menerusi penyertaan Malaysia dalam persidangan ASEAN berkaitan agenda tersebut di Manila, Filipina, dari 6 hingga 8 Oktober 2026.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Salwana binti Tan Sri Dato’ Mahmood, bersama wakil Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan KPWKM.

Persidangan itu menjadi ruang bagi negara anggota ASEAN berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam memperkukuh pelaksanaan agenda WPS, termasuk memperluas penyertaan wanita dalam proses keamanan, meningkatkan penyelarasan antara agensi dan menggalakkan penglibatan komuniti serta organisasi masyarakat sivil.

Malaysia turut membentangkan perkembangan awal pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional WPS selepas setahun dilancarkan pada Oktober 2025 sempena Sidang Kemuncak ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan di Kuala Lumpur.

Perbincangan turut menumpukan usaha memperkukuh koordinasi antara agensi, meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan serta memastikan dasar yang dirangka dapat diterjemahkan kepada tindakan dan pencapaian yang boleh diukur.

-Advertisement-

Antara amalan yang dikongsikan ialah penggunaan papan pemuka digital oleh Filipina bagi menyelaras maklumat berkaitan program, peruntukan dan indikator pelaksanaan WPS. Pendekatan itu memberi peluang kepada Malaysia untuk meneliti kaedah pemantauan bersepadu yang sesuai bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar negara.

Selain itu, persidangan menekankan kepentingan penyertaan wanita di peringkat akar umbi, termasuk wanita daripada masyarakat pribumi dan golongan belia dalam proses membuat keputusan. Isu keganasan berasaskan gender dalam talian, pembiayaan serta kerjasama merentas sektor turut dibincangkan sebagai aspek penting dalam memperkukuh agenda berkenaan.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan ini diharap dapat memperluas perkongsian pengetahuan dan mengukuhkan kerjasama serantau, sekali gus menyokong pelaksanaan agenda WPS yang lebih terselaras, inklusif dan berkesan – The Capital Post