KAPAR, Selangor, 10 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh penerapan teknologi dan inovasi dalam pembangunan infrastruktur negara bagi memastikan kemudahan awam bukan sahaja selamat dan berkualiti, malah lebih cekap, pintar dan lestari.
Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini mengadakan lawatan kerja ke SBC Lighting Sdn. Bhd. di Kapar bagi meninjau keupayaan industri tempatan dalam menghasilkan penyelesaian pencahayaan jalan raya serta teknologi bandar pintar.
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada teknologi Road Lighting LED, Solar LED, Smart Lighting serta sistem pengurusan bandar pintar yang berpotensi menyokong usaha kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya, kecekapan penggunaan tenaga dan pengurusan infrastruktur.
YB Menteri turut meninjau fasiliti pembuatan termasuk barisan pengeluaran Road Lighting LED, pemasangan lampu Solar LED serta Makmal Pengujian dan Kawalan Kualiti bagi melihat proses pengeluaran, pengujian dan kawalan kualiti produk sebelum digunakan dalam persekitaran sebenar.
Beliau turut menyaksikan demonstrasi Smart Lighting dan PEAK Smart City Platform yang mengetengahkan penggunaan teknologi pintar bagi membolehkan sistem pencahayaan serta infrastruktur dipantau dan diurus dengan lebih sistematik serta cekap.
-Advertisement-
KKR melihat teknologi pencahayaan pintar sebagai antara elemen penting dalam evolusi infrastruktur jalan raya negara. Penggunaan teknologi bersesuaian berpotensi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, selain mengoptimumkan penggunaan tenaga serta mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan dalam jangka panjang.
Dalam masa sama, KKR komited membuka lebih banyak ruang kepada inovasi, penyelidikan dan kepakaran industri tempatan bagi memperkukuh ekosistem infrastruktur negara. Kerjasama antara kerajaan, agensi teknikal dan pemain industri penting bagi memastikan teknologi yang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal dan berimpak kepada rakyat.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kerja Raya Malaysia, KKR akan terus memastikan kemajuan teknologi dalam sektor infrastruktur diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, termasuk jalan raya yang lebih selamat, pengurusan yang lebih cekap dan persekitaran yang lebih lestari. – The Capital Post