Klinik swasta diserbu beri Ivermectin belum dilulus untuk cegah Covid-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Seorang doktor mengesahkan klinik swastanya diserbu Kementerian Kesihatan (KKM) semalam kerana membekalkan ubat antiparasit, Ivermectin kepada orang awam bagi mencegah jangkitan Covid-19.

-Advertisement-

Pada 16 Mei, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, KKM belum meluluskan penggunaan ubat Ivermectin untuk mencegah atau merawat Covid-19 kerana tiada kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanannya.

Dr Amir Farid Isahak mengesahkan kliniknya di Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa namun enggan mengulas lanjut atas nasihat peguamnya.

“Kenyataan itu memang saya buat tetapi peguam saya sudah nasihatkan supaya tidak buat sebarang kenyataan ketika ini,” katanya kepada FMT.

Dalam kenyataan semalam, beliau menjelaskan kadar vaksinasi terlalu perlahan menyebabkan selaku doktor beliau membuat keputusan untuk menggunakan ubat berkenaan dan mendakwa ia selamat.

-Advertisement-

“Saya terima 58 kajian saintifik yang dijalankan setakat ini menunjukkan keberkesanannya mengurangkan jangkitan dan kesan yang teruk akibat Covid-19.

“Oleh itu saya bertindak menurut apa yang saya percaya dan berusaha menyelamatkan nyawa,” katanya yang sedar keputusannya itu salah dan akan sampai ke pengetahuan KKM.

Bagaimanapun beliau berkata, menyelamatkan nyawa manusia adalah keutamaan ketika ini berbanding takut kepada tindakan undang-undang.-FMT