Konsert Exists tampil konsep orkestra

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Teruja dengan konsep orkestra yang julung kali disajikan selepas 32 tahun bertapak dalam dunia muzik, Exists menjanjikan aksi istimewa pada Konsert Exists X Orkestra di ibu negara, bulan depan.

-Advertisement-

Exists yang dianggotai Mamat, Ezad, Ajai, Musa, Ujang dan Along gigih membuat persiapan yang kini menjangkau 40 peratus dalam aspek teknikal dan pengurusan acara.

Along mengaku besar harapan mereka agar Konsert Exists X Orkestra di Mega Star Arena pada 22 Disember depan, lancar.

“Tidak mudah menjayakan konsert ini. Tetapi kami nikmati dan belajar semua proses daripada menyiapkan susunan lagu untuk diserahkan kepada penyusun muzik orkestra menjadi susunan muzik baharu.

“Fasa seterusnya iaitu sesi latihan antara band dan orkestra yang sangat dinantikan. Apa yang pasti, gabungan kami akan menghasilkan semua lagu ke tahap yang lebih memuaskan,” katanya.

Tambah Along, peminat yang hadir ke Konsert Exists X Orkestra akan menjadi saksi lagu pertama yang dirakam Exists iaitu Rahsia Pohon Cemara dipersembahkan secara orkestra.

Rahsia Pohon Cemara dihasilkan LY pada 1991 dan dimuatkan dalam album pertama berjudul Exists.

-Advertisement-

“Pada konsert itu, Exists akan kali pertama menghasilkan Rahsia Pohon Cemara dalam versi berbeza.

“Rahsia Pohon Cemara ada nilai sentimental buat Exists. Inilah lagu pertama yang kami rakam dalam album sulung,” katanya.

Anggota Exists juga bersyukur penjualan tiket Exists X Orkestra memberangsangkan sejak hari pertama.

“Penjualan tiket berjalan baik berbanding konsert sebelum ini. Kami percaya tiket akan terus dibeli peminat menerusi banyak promosi dan bantuan rakan media,” katanya.

Exists X Orkestra akan menyaksikan kugiran yang berasal dari Johor Bahru ini bergabung dengan sekitar 30 pemuzik orkestra dan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka.

– BeritaHarian