KUALA LUMPUR: Kontraktor kerugian RM1.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan tawaran belajar pelaburan saham secara percuma.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pada 2 Oktober 2025, lelaki berusia 60-an yang juga kontraktor melayari aplikasi Facebook dan berminat dengan satu tawaran belajar pelaburan saham secara percuma.
Mangsa kemudian menekan ‘link’ yang tertera dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Setelah beberapa kali sesi kelas pelajaran pelaburan, guru pelaburan dalam kumpulan WhatsApp menawarkan kepada ahli-ahli kumpulan satu peluang pelaburan saham yang terbaharu dengan jaminan keuntungan serta pampasan sekiranya rugi.
“Mangsa yang tertarik untuk menyertai pelaburan itu menerima panggilan WhatsApp daripada seorang wanita meminta dia memuat turun satu aplikasi bagi memulakan pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-Advertisement-
Labur ke enam akaun berbeza
Pada 27 November 2025 mangsa membuat pindahan wang secara berperingkat ke enam akaun yang berbeza milik syarikat/perniagaan iaitu SCSS Pulse Trading, BookmaP If Sdn Bhd, Bookmap Tg Sdn Bhd, AEP Top Ventures, Musi Luxhome Renovation (M) Sdn Bhd dan Sac Global Sdn Bhd.
“Pada bulan lalu, mangsa mahu mengeluarkan RM600,000 setelah aplikasi pelaburan memaparkan mangsa mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.
“Mangsa diminta untuk membuat bayaran komisen 10 peratus terlebih dahulu dan selepas membuat bayaran itu, mangsa dimaklumkan bahawa wang pengeluarannya disekat oleh Bank Negara Malaysia dan perlu pula membayar cukai sebanyak RM168,000,” katanya.
Katanya, mangsa berasa curiga dan enggan membuat bayaran lanjut. Mangsa mengesyaki ditipu dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta telah membuat laporan polis pada 13 Februari lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan menyemak dengan portal Semakmule sebelum ingin membuat apa-apa transaksi dan merujuk senarai “Top Ten” CCID.
“Pelaburan yang sah tidak akan meminta anda memindahkan wang ke akaun syarikat pihak ketiga atau individu yang tidak dikenali melalui aplikasi sembang.
“Satu semakan di Portal Semakmule boleh menyelamatkan wang simpanan seumur hidup,” katanya.
-BeritaHarian