Malaysia Perkukuh Kepimpinan Wanita ASEAN

Estimate Reading Time: 2 minutes

FILIPINA 5 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyertai 4th ASEAN Women Leaders’ Summit yang berlangsung dari 29 September hingga 1 Oktober 2026 di Manila, Filipina, bagi membincangkan usaha memperkukuh kesaksamaan gender dan meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan.

Sidang Kemuncak yang dianjurkan ASEAN Committee on Women (ACW) Filipina dengan kerjasama ASEAN-Canada Plan of Action Trust Fund dan The Asia Foundation itu menghimpunkan pembuat dasar, pakar serta rakan strategik ASEAN untuk berkongsi pandangan berkaitan pendekatan dan mekanisme memperkasakan kepimpinan wanita.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita selaku wakil ACW Malaysia, YBrs. Puan Hanani Sapit. Turut menyertai delegasi ialah YBrs. Dr. Nurul Huda Abdul Manaf daripada Bahagian Kesejahteraan Wanita, Kanak-kanak dan Keluarga, KPWKM; Puan Anis Nabihah Razak daripada Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPWKM; serta Puan Rashidah Md Rasib daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam sesi “High-Level Exchange of Views on the Status of Women Leadership across ASEAN and their Role in Inclusive Prosperity”, Hanani berkongsi pengalaman serta usaha Malaysia meningkatkan perwakilan wanita dalam kepimpinan di pelbagai peringkat dan sektor, termasuk politik, perkhidmatan awam serta korporat.

Antara inisiatif Malaysia yang diketengahkan termasuk pelaksanaan Gender Focal Point dan Gender Focal Team, PERANTIS serta Kerangka Ekonomi Penjagaan 2026–2030 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penyertaan wanita dalam pelbagai bidang.

-Advertisement-

Sidang Kemuncak turut menjadi medan perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan pendekatan inovatif antara negara ASEAN, termasuk melalui pengukuhan kerjasama serantau, penggunaan teknologi digital, tadbir urus berasaskan bukti serta pendekatan whole-of-government dan whole-of-society.

Perbincangan turut merangkumi peranan wanita dalam bidang strategik seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Women, Peace and Security (WPS), perubahan iklim, kejuruteraan serta sektor maritim.

Penyertaan Malaysia menerusi KPWKM mencerminkan komitmen negara untuk terus memperkukuh kepimpinan wanita dan agenda kesaksamaan gender melalui kerjasama serantau, perkongsian pengetahuan serta penerapan pendekatan inovatif yang menyokong pembangunan sosial inklusif dan mampan – The Capital Post