KUALA LUMPUR 16 Jun 2026 (The Capital Post) – Industri sawit negara terus diperkukuh sebagai sebahagian daripada agenda peralihan rendah karbon apabila Malaysia Palm Carbon Conference (MPCC) 2026 dirasmikan di Menara FELDA, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato’ Seri Arthur Joseph Kurup yang menekankan kepentingan memperluas peranan sektor sawit dalam pembangunan pasaran karbon negara serta memperkukuh daya saing industri berkenaan di peringkat global.
Persidangan tersebut menghimpunkan pemain industri, pakar teknikal, penyelidik dan pembuat dasar bagi membincangkan potensi kredit karbon dalam sektor sawit, selain menilai sumbangannya terhadap agenda kelestarian serta sasaran peralihan ekonomi rendah karbon negara.
Dalam ucaptama, beliau turut menegaskan pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0) sebagai pemacu utama tindakan iklim, termasuk usaha memperkukuh dasar pasaran karbon negara serta penggubalan rang undang-undang berkaitan bagi memastikan tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti.
-Advertisement-
MPCC 2026 turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pandangan industri melalui forum khas yang membincangkan masa depan ekonomi sawit dalam ekosistem kredit karbon, di samping menggalakkan inovasi teknologi hijau serta mekanisme pasaran karbon yang mampan.
Persidangan itu turut dihadiri kepimpinan FELDA, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), wakil diplomatik serta pelbagai agensi kerajaan dan industri berkaitan. – The Capital Post