Kuala Terengganu, 28 Oktober 2026 – Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, telah menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Kesatuan Sekerja KKM (MAPSU) serta melancarkan logo MAPSU di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.
Konvensyen tersebut menjadi platform bagi KKM mendengar suara warga kerja, memahami cabaran yang dihadapi di lapangan serta membincangkan isu kebajikan anggota. Program ini turut membuka ruang kepada pihak pengurusan dan kesatuan untuk memperkukuh kerjasama dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara.
Dalam ucapannya, Hasnol Zam Zam menegaskan bahawa KKM sentiasa menghargai peranan kesatuan sekerja dan mengiktiraf warga kerja sebagai sebahagian penting dalam perjalanan reformasi kesihatan negara.
Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi terbuka serta kerjasama erat antara pihak pengurusan dengan wakil pekerja bagi memastikan pandangan dan keperluan anggota dapat diberi perhatian sewajarnya.
-Advertisement-
Penganjuran konvensyen ini mencerminkan kepentingan hubungan yang harmoni antara pengurusan dan kesatuan dalam membina persekitaran kerja yang lebih kondusif, di samping menyokong kebajikan, motivasi dan kesejahteraan warga KKM.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Ismuni bin Bohari; Pengerusi MBK S&T merangkap Presiden CUEPACS, YBhg. Dato’ Dr. Haji Adnan bin Mat; Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, YBhg. Datuk Mohd Shahrim bin Hussin; Presiden Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU KKM), YBrs. Encik Ajulahin bin Japin; serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, YBrs. Dr. Mohd Anuar bin Abd Rahman.
Melalui platform seperti MAPSU, KKM berharap kerjasama antara pihak pengurusan dan kesatuan dapat terus diperkukuh bagi menangani cabaran di tempat kerja, menjaga kebajikan anggota serta menyokong usaha penambahbaikan sistem kesihatan negara. – The Capital Post